Perlombongan Ekonomi Malaysia

Perlombongan di Tanah Melayu selalunya merujuk kepada perlombongan bijih timah memandangkan hasil perlombongan logam lain seperti emas adalah terlalu sedikit. Secara amnya, aktiviti ini dijalankan secara kecil-kecilan terutama oleh pembesar-pembesar Melayu. Dalam tempoh yang lebih lewat, penggunaan pam kelikir dan sebagainya telah merangsangkan hasil pengeluaran terus meningkat.

Bijih timah

Industri bijih timah merupakan satu industri yang tertua di Tanah Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Bijih timah telah menarik minat pedagang-pedagang asing dari Mediterranean, Arab, India dan China. Timah yang dilombong daripada kawasan pedalaman telah dilebur dan dijadikan timah jongkong lalu dibawa ke hilir sungai untuk diperniagakan.

Kekayaan bijih timah di Tanah Melayu dapat dibuktikan melalui seorang pengembara Arab yang bernama Abu Dulaf (abad ke-10). Beliau berkata “di seluruh dunia tidak ada lombong bijih timah seperti di Tanah Melayu”. Pada abad ke-12 pula, seorang penulis Itali mengulas bahawa bijih timah di Tanah Melayu sangat tulen dan bercahaya. Menurut sumber China pula, Melaka dan Pahang ada mengeksport bijih timah. Catatan J.F.A. McNair pula menunjukkan, bijih timah mula dilombong di Perak pada tahun 1616 di Manjung dan Beruas.

Sehingga tahun 1820-an, perlombongan bijih timah merupakan perusahaan orang Melayu. Lombong-lombong ini dikuasai oleh raja dan pembesar. Mereka menggunakan cara melampan dan mendulang untuk melombong. Hasilnya adalah terhad. Selain itu, sikap orang Melayu yang menganggap perlombongan itu hanya merupakan pekerjaan sambilan menyebabkan perkembangannya tidak pesat.

Atas inisiatif pembesar, mereka telah menggalakkan kemasukan orang Cina sebagai buruh. Keadaan ini jelas dilihat mulai tahun 1820-an, apabila orang Cina mula melibatkan diri dalam perlombongan bijih timah. Selain itu, akibat perubahan radikal di Eropah dari segi penggunaan bijih timah, permintaan terhadapnya telah meningkat. Pengambilan buruh Cina juga dipergiatkan lagi.

Pada tahun 1840-an, perusahaan ini mula bertukar corak dengan penemuan kawasan baru, kemasukan modal Cina dan pengenalan cara-cara perlombongan yang lebih efektif oleh orang Cina. Keadaan ini telah membawa perubahan kekuasaan dan kaitan politik orang Cina di Tanah Melayu secara keseluruhan. Keadaan ini telah memberi peluang kepada British untuk campur tangan dalam hal-hal pentadbiran Tanah Melayu.

Selain itu, kerajaan British juga berusaha untuk mewujudkan suasana yang menyenangkan kepada perkembangan perusahaan bijih timah swasta kepunyaan orang Eropah. Mereka menggunakan kapal korek untuk melombong. Penggunaan kapal korek dapat melombong dengan banyak tetapi kaedah ini memerlukan belanja yang tinggi. Dengan itu, perusahaan bijih timah oleh orang Cina mulai diambil alih oleh syarikat Eropah kerana teknik kapal korek yang dapat melombong dengan cepat dan akhirnya menjual perusahaan lombong bijih timah mereka kepada syarikat British.

Emas

Menurut J. Kennedy, perlombongan emas mungkin telah dijalankan berhampiran dengan Melaka pada zaman Neolitik lagi dan kenyataan ini mungkin benar kerana semenjak dahulu, emas merupakan dagangan yang penting di Tanah Melayu sehinggakan Tanah Melayu dikenali sebagai Semenanjung Emas atau Semenanjung Kencana. Dinyatakan bahawa di Pahang terutamanya di Kuala Lipis, perlombongan emas telah dijalankan selewat-lewatnya semenjak abad ke-16 lagi. Perusahaan ini pada umumnya merupakan perusahaan orang Melayu dan jumlah pengeluarannya adalah kecil.

Pada tahun 1889, Raub Australian Gold Mining Company (oleh orang Australia) telah ditubuhkan. Ia merupakan syarikat perlombongan emas yang terpenting di Tanah Melayu dan ditutup pada tahun 1960-an.

Arang batu

Perlombongan arang batu dijalankan di Batu Arang (Selangor) dan Enggor (Perak). Kegiatan ini dijalankan oleh Syarikat Malayan Collieries semenjak tahun 1915. Arang batu yang diperolehi telah dijual dalam pasaran tempatan kepada Keretapi Tanah Melayu, stesen-stesen kuasa dan lombong bijih timah. Dalam tahun 1950-an, pengeluaran arang batu mula merosot sebagai akibat persaingan dengan bahan api minyak. Dengan itu, lombong arang batu di Batu Arang telah ditutup pada tahun 1960.

Bijih besi

Perlombongan bijih besi hanya dijalankan oleh syarikat-syarikat Jepun hanya selepas Perang Dunia I di Johor dan Terengganu serta Kelantan. Bijih besi ini juga dieksport ke negara Jepun dan menjelang tahun 1938, kira-kira setengah daripada jumlah import bijih besi Jepun datangnya dari Tanah Melayu.

Bauksit

Bauksit hanya mula dikenali dan dijalankan perlombongannya pada tahun 1936 di Bukit Pasir berhampiran dengan Batu Pahat. Sebelum Perang Dunia II, dua lombong bauksit telah dibuka iaitu di Perigi Acheh dan Sri Medan. Namun kedua-dua lombong tersebut telah ditutup pada tahun 1941 apabila meletusnya Perang Dunia II. Kebanyakan hasil bauksit Tanah Melayu dieksport ke negara Jepun dan hanya sebahagian kecil sahaja dieksport ke Australia dan Taiwan.